Wednesday, 27 August 2014

Thursday, 21 August 2014

Inspirasi Hud-hud (Ubi Kentang)

Sebiji Ubi Kentang untuk Orang yang Dibenci

            Mereka baru sahaja tamat Peperiksaan Akhir Tahun.  Seminggu lagi cuti akan bermula. Seorang guru bercadang untuk mengisi masa lapang selepas peperiksaan dengan satu aktiviti berguna. Ia merupakan satu permainan berpengajaran.

            Dia mengarahkan anak-anak muridnya supaya membawa satu beg plastik yang mengandungi ubi kentang. Setiap ubi kentang itu ditulis  satu nama orang yang muridnya benci. Jadi bilangan ubi kentang yang mereka bawa bergantung kepada bilangan orang yang dibenci.

            Apabila tiba harinya, setiap murid membawa beberapa biji ubi kentang dengan nama-nama orang yang dibenci. Ada yang membawa dua biji ubi kentang, ada yang membawa tiga biji malahan ada yang membawa sehingga lima biji ubi kentang. Namun, ada seorang pelajar yang bernama Sufyan tidak membawa ubi kentang berkenaan. Apabila ditanya dia memberitahu, “tidak ada sesiapa yang saya benci. Semua orang saya suka.”

            Kemudian guru itu meminta anak murid membawa ubi kentang di dalam plastik kemana-mana sahaja mereka pergi (walaupun ke tandas) selama seminggu.

            Hari terus berlalu, murid-muridnya mula mengeluh dan mengadu kerana bau yang kurang menyenangkan daripada ubi kentang yang mula rosak. Selain itu, murid yang mempunyai lima biji kentang pula terpaksa membawa beg yang lebih berat setiap hari.

            Sementara itu, pelajar yang tidak mempunyai sebarang ubi kentang merasa seronok melihat gelagat kawan-kawannya yang lain. Selepas seminggu, semua murid berasa lega kerana akhirnya permainan tamat.

            Guru itu bertanya, “Bagaimanakah kamu rasa membawa ubi-ubi kentang bersama kamu selama seminggu?” murid-murid itu seorang demi seorang (kecuali seorang) menyatakan rasa kecewanya dan mula mengadu tentang masalah yang dihadapi. Mereka terpaksa melalui kesukaran membawa ubi-ubi kentang yang berat dan busuk kemana-mana saja mereka pergi. Jelas sekali bahawa ia mengganggu pergerakan dan aktiviti harian mereka.

            Sesudah itu, guru memberitahu mereka rahsia di sebalik permainan tersebut. Semua murid tertumpu kepadanya. Guru itu pun memberitahu mereka rahsia di sebalik permainan.  Semua murid tertumpu kepadanya. Guru itu pun berkata :

            “Inilah sebenarnya keadaan apabila kamu membawa rasa benci kepada seseorang di dalam hati kamu. Perasaan benci akan merosakkan hati. Malah, kamu membawanya ke mana-mana sahaja kamu pergi. Jika kamu sudah tidak boleh bertahan dengan bau busuk daripada kentang yang rosak untuk tempoh seminggu, bolehkah kamu bayangkan bagaimanakah agaknya kamu berdepan dengan orang yang kamu benci di sepanjang hidup kamu?”

            Guru itu menambah lagi.

            “Tidakkah kamu perhatikan rakan kamu Sufyan. Dia kelihatan tenang dan relaks sahaja. Malah dia seronok melihat gelagat kamu semua yang membawa ubi kentang yang busuk itu. Inilah hadiah yang kita dapat apabila kita tidak membenci sesiapa. Jadi mulai hari ini, walaupun agak sukar, kita kene mula belajar menyukai semua orang yang kita temui. Walaupun kita mungkin tidak setuju dengan pendapat, tingkah laku dan sebagainya. Lebih elok kita berdiam saja daripada menyimpan rasa marah dan benci dalam hati kita. Jika dibiarkan, ternyata kita yang rugi.”

Kesimpulan :

Menarik sekali cerita di atas. Guru itu ternyata amat bijak mendidik. Beliau bukan sekadar bercerita dan memberi penerangan tetapi meminta mereka merasai sendiri masalah dan pengajaran yang ingin diketengahkan.

Bagaimanakah pula dengan anda? Buat masa ini, siapakah yang anda benci? Katakanlah anda membenci seseorang di tempat kerja. Ia mungkin rakan anda, bos anda atau staf anda. Apakah perasaan anda apabila bertentang mata dengannya? Adakah anda rasa selesa apabila bermesyuarat di dalam satu bilik dengannya? Bayangkan jika anda bertemu dengannya setiap hari?

Ahli keluarga anda pula bagaimana? Adakah yang dibenci? Malang sekali sekiranya yang dibenci itu ialah orang yang tidur sekatil, makan semeja, duduk sebumbung dan yang mempunyai ikatan pernikahan dengan anda. Berdamailah dan saling bermaafanlah demi kebahagiaan anda serta mereka sehingga akhir hayat. Atau anda ingin membawa ubi kentang yang busuk dalam hidup anda buat selama-lamanya?
           


Saturday, 16 August 2014

Inspirasi Hud-hud (Keindahan membaca Al-Quran)

Suatu Kisah Tentang Keindahan Membaca Al-Quran

            Kebanyakan antara kita bukan berbangsa Arab dan tidak memahami Bahasa Arab. Justeru, agak sukar memahami Al-Quran kecuali menerusi tafsir. Namun kita disuruh membaca dan terus membaca kitab suci itu walaupun tidak mengetahui maknanya. Kenapakah kita perlu membaca Al-Quran walaupun kita tidak memahami walau sepatah pun perkataan Arab? Renungilah cerita indah ini.

            Ada seorang tua warga Amarika yang beragama Islam tinggal di sebuah lading berhampiran dengan kawasan pergunungan di timur Kentucky bersama-sama cucu lelakinya. Setiap pagi, beliau akan bangun awal dan duduk di meja dapur sambil membaca Al-Quran. Cucu lelakinya ingin menjadi sepertinya dan sedaya upaya cuba meniru atuknya.

            Suatu hari cucunya bertanya, “atuk, saya cuba untuk membaca Al-Quran seperti atuk tapi saya tidak memahaminya. Apa yang saya faham, sayaakan terlupa sebaik sahaja saya menutup kitab itu. Jadi, apakah kebaikan membacanya?”

            Mendengar pertanyaan cucunya itu, si datu yang sedang meletakkan arang ke dalam dapur pemanas itu berpaling lalu berkata, “bawalah bakul arang ini ke sungai dan ambilkan atuk sebakul air.”

            Cucunya pun melakukan seperti apa yang disuruh. Namun, air yang dicedok akan mengalir keluar sebelum tiba di rumah. Atuknya ketawa sambil berkata, “ kamu perlu bergerak lebih pantas lagi”. Dia menyuruh cucunya pergi ke sungai semula dengan membawa bakul itu untuk cubaan yang kedua. Kali ini cucunya berlari sekuat hati. Malang sekali kerana bakul tetap kosong sebaik sahaja tiba dirumah. Dengan termengah-mengah cucunya memberitahu kepada atuk bahawa adalah mustahil untuk membawa air di dalam bakul. Lalu cucunya pun terus membawa baldi sebagai ganti bakul.

            Datuk tua itu pun berkata, “Atuk tidak mahukan sebaldi air, atuk mahukan sebakul air. Kamu tidak mencuba bersungguh-sungguh .” beliau pun keluar dari rumah untuk melihat gelagat cucunya mengambil air. Pada ketika itu, cucunya tahu bahawa semua ini sia-sia belaka tetapi dia tetap ingin menunjukkan kepada datuknya. Walaupun berlari dengan sangat pantas, air tetap mengalir keluar sebelum sampai ke rumah. Kemudian cucunya mencelupkan bakul ke dalam sungai dan lari sekuat mungkin, tetapi apabila sampai di hadapan datuknya bakul itu kembali kosong. Dengan nafas yang tersekat-sekat, cucunya berkata, “lihatlah atuk, ia sia-sia belaka!”

            “Jadi kamu fikir, semua ini perbuatan sia-sia?” Tanya orang tua itu. “Lihat bakul itu.” Lantas cucunya melihat bakul itu. Buat pertama kalinya beliau menyedari bahawa bakul itu telah berbeza. Ia telah bertukar daripada bakul yang kotor kepada yang bersih, luar dan dalam.

            “Cucuku, apa yang terjadi semasa kamu membaca Al-Quran, mungkin kamu tidak memahami atau mengingati semuanya. Namun apabila kamu membacanya, kamu akan berubah dari segi zahir dan batin. Itulah aturan yang telah Allah tetapkan dalam kehidupan kita.”

Kesimpulan :
Membaca kitab suci Al-Quran memang banyak mendatangkan faedah sekiranya kita mengetahui maknanya. Namun, atas keberkatan ayat-ayat Kalam Allah itu, walaupun membacanya tanpa memahami makna, malah mendengar ayat-ayat Al-Quran yang dibaca pun akan memberi seribu rahmat kepada kita. Mulai hari ini, biasakan diri membaca sekurang-kurangnya sebaris ayat suci Al-Quran sehari. Lebih-lebih lagi, jika merujuk kepada tafsiran maksudnya sekali.

                                                                                   



Wednesday, 13 August 2014

MAJLIS SIRNA BUDI TAUTAN HATI

Persaraan Puan Hajah Rusnani Binti Ahmad
(07 Januari 1980 - 08 Ogos 2014)
Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Sungai Limau
Tarikh : 08 Ogos 2014
Masa   : 8.00 pagi - 12.00 tengahari
Tempat : Dewan SESULI Aman SK Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan.