Thursday, 21 August 2014

Inspirasi Hud-hud (Ubi Kentang)

Sebiji Ubi Kentang untuk Orang yang Dibenci

            Mereka baru sahaja tamat Peperiksaan Akhir Tahun.  Seminggu lagi cuti akan bermula. Seorang guru bercadang untuk mengisi masa lapang selepas peperiksaan dengan satu aktiviti berguna. Ia merupakan satu permainan berpengajaran.

            Dia mengarahkan anak-anak muridnya supaya membawa satu beg plastik yang mengandungi ubi kentang. Setiap ubi kentang itu ditulis  satu nama orang yang muridnya benci. Jadi bilangan ubi kentang yang mereka bawa bergantung kepada bilangan orang yang dibenci.

            Apabila tiba harinya, setiap murid membawa beberapa biji ubi kentang dengan nama-nama orang yang dibenci. Ada yang membawa dua biji ubi kentang, ada yang membawa tiga biji malahan ada yang membawa sehingga lima biji ubi kentang. Namun, ada seorang pelajar yang bernama Sufyan tidak membawa ubi kentang berkenaan. Apabila ditanya dia memberitahu, “tidak ada sesiapa yang saya benci. Semua orang saya suka.”

            Kemudian guru itu meminta anak murid membawa ubi kentang di dalam plastik kemana-mana sahaja mereka pergi (walaupun ke tandas) selama seminggu.

            Hari terus berlalu, murid-muridnya mula mengeluh dan mengadu kerana bau yang kurang menyenangkan daripada ubi kentang yang mula rosak. Selain itu, murid yang mempunyai lima biji kentang pula terpaksa membawa beg yang lebih berat setiap hari.

            Sementara itu, pelajar yang tidak mempunyai sebarang ubi kentang merasa seronok melihat gelagat kawan-kawannya yang lain. Selepas seminggu, semua murid berasa lega kerana akhirnya permainan tamat.

            Guru itu bertanya, “Bagaimanakah kamu rasa membawa ubi-ubi kentang bersama kamu selama seminggu?” murid-murid itu seorang demi seorang (kecuali seorang) menyatakan rasa kecewanya dan mula mengadu tentang masalah yang dihadapi. Mereka terpaksa melalui kesukaran membawa ubi-ubi kentang yang berat dan busuk kemana-mana saja mereka pergi. Jelas sekali bahawa ia mengganggu pergerakan dan aktiviti harian mereka.

            Sesudah itu, guru memberitahu mereka rahsia di sebalik permainan tersebut. Semua murid tertumpu kepadanya. Guru itu pun memberitahu mereka rahsia di sebalik permainan.  Semua murid tertumpu kepadanya. Guru itu pun berkata :

            “Inilah sebenarnya keadaan apabila kamu membawa rasa benci kepada seseorang di dalam hati kamu. Perasaan benci akan merosakkan hati. Malah, kamu membawanya ke mana-mana sahaja kamu pergi. Jika kamu sudah tidak boleh bertahan dengan bau busuk daripada kentang yang rosak untuk tempoh seminggu, bolehkah kamu bayangkan bagaimanakah agaknya kamu berdepan dengan orang yang kamu benci di sepanjang hidup kamu?”

            Guru itu menambah lagi.

            “Tidakkah kamu perhatikan rakan kamu Sufyan. Dia kelihatan tenang dan relaks sahaja. Malah dia seronok melihat gelagat kamu semua yang membawa ubi kentang yang busuk itu. Inilah hadiah yang kita dapat apabila kita tidak membenci sesiapa. Jadi mulai hari ini, walaupun agak sukar, kita kene mula belajar menyukai semua orang yang kita temui. Walaupun kita mungkin tidak setuju dengan pendapat, tingkah laku dan sebagainya. Lebih elok kita berdiam saja daripada menyimpan rasa marah dan benci dalam hati kita. Jika dibiarkan, ternyata kita yang rugi.”

Kesimpulan :

Menarik sekali cerita di atas. Guru itu ternyata amat bijak mendidik. Beliau bukan sekadar bercerita dan memberi penerangan tetapi meminta mereka merasai sendiri masalah dan pengajaran yang ingin diketengahkan.

Bagaimanakah pula dengan anda? Buat masa ini, siapakah yang anda benci? Katakanlah anda membenci seseorang di tempat kerja. Ia mungkin rakan anda, bos anda atau staf anda. Apakah perasaan anda apabila bertentang mata dengannya? Adakah anda rasa selesa apabila bermesyuarat di dalam satu bilik dengannya? Bayangkan jika anda bertemu dengannya setiap hari?

Ahli keluarga anda pula bagaimana? Adakah yang dibenci? Malang sekali sekiranya yang dibenci itu ialah orang yang tidur sekatil, makan semeja, duduk sebumbung dan yang mempunyai ikatan pernikahan dengan anda. Berdamailah dan saling bermaafanlah demi kebahagiaan anda serta mereka sehingga akhir hayat. Atau anda ingin membawa ubi kentang yang busuk dalam hidup anda buat selama-lamanya?
           


No comments:

Post a Comment